Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown sepatutnya jujur dan tidak lagi bercakap selepas persetujuan bersama untuk tidak meneruskan saman di mahkamah antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan dia.

Namun menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Clare terus menulis dan menunjukkan sikap tidak jujur dengan menimbulkan isu dana 90 juta itu.

“Sepatutnya Clare ini kena jujurlah dengan persetujuan kita (untuk) tidak beri komen tetapi dia terus menulis, menyerang.

“Ini tidak betul bila sudah selesai luar mahkamah, ini kena rujuk kepada Tuan Guru (Presiden Pas) sebab dia sebut Tuan Guru, kena tanya dia, Tuan Guru apa tindakan pada pandangan saya itu sikap tidak jujur Clare. Sudah bersetuju berhentilah, tidak ada isu baharu sepatutnya,” katanya di sini, hari ini.

BACA: Jangan kelirukan ahli, siapa bagi RM2.5 juta? - soal Clare kepada Hadi

BACA: Tidak berganjak pendirian, Clare akui diancam

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan diminta mengulas desakan terbaharu Clare yang meminta supaya Pas menjadi sebuah parti yang telus bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, malah kepada ahlinya.

Pada masa yang sama beliau mencabar Abdul Hadi untuk menjelaskan kenyataan tidak konsisten beliau berhubung penyaluran dana RM2.5 juta dari UMNO kepada Pas.

Katanya pembayaran dibuat secara tunai berjumlah RM2.5 juta oleh pemimpin kanan UMNO kepada Pas sebelum pilihan raya yang lalu.

Tambah Mohd Amar, dakwaan Clare itu lebih kepada tuduhan tanpa asas bahkan apabila dia bersetuju untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah, membuktikan Clare tidak mempunyai hujah dan bukti cukup untuk dikemukakan di mahkamah.

Abdul Hadi pada 2 Feb lepas memutuskan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah berhubung kes saman beliau terhadap pengasas dan editor Sarawak Report selepas meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan daripada semua aspek dan mempertimbang pandangan serta nasihat peguam.

Clare Rewcastle Brown selaku defendan, dan editor Sarawak Report itu juga menarik balik tuntutan balas terhadap Presiden Pas itu.