KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata status ekonomi Sabah pada ketika ini kekal berdaya tahan walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Menurutnya, ia boleh dilihat apabila pada tahun 2021 kerajaan negeri  berjaya mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM5.449 bilion iaitu tertinggi dalam sejarah.

Bagaimanapun jelasnya, kerajaan negeri akan terus berusaha memulihkan semula ekonomi Sabah menerusi inisiatif yang digariskan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

"Terdapat banyak lagi pencapaian kerajaan yang akan memanfaatkan rakyat Sabah secara keseluruhannya. Dalam soal membangunkan negeri ini, masih banyak yang perlu kita lakukan", kata beliau di dalam perutusan sempena Hari Raya Aidiladha 1443H/2022.

Dalam masa yang sama, Hajiji turut menyeru agar umat Islam di Sabah menyambut Aidiladha secara sederhana dan menjaga kawalan kendiri bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Selain itu, beliau mengajak umat Islam di Sabah menghayati dan menjadikan panduan maksud sebenar perayaan Aidiladha dalam menghadapi cabaran hidup pasca COVID-19 khususnya dalam aspek ekonomi.

Jelas Hajiji, nilai murni yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail perlu dijadikan rujukan dalam memahami erti pengorbanan bagi menghadapi cabaran hidup masa kini.

"Justeru, jadikanlah kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail sebagai pedoman untuk kita memahami erti pengorbanan sebenar dalam menghadapi apa juga cabaran. Sesungguhnya, ibrah daripada setiap cabaran dan ujian ini menuntut pengorbanan kita semua untuk bangkit, bermuafakat dan bersemangat," katanya.