MALAYSIA
Elak guna telefon pintar ketika belajar, rahsia kejayaan pelajar 9A

Kejayaan Amirah mendapat 9A disampaikan oleh Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Latifah Mahfod - Foto Astro AWANI
Belajar di sekolah yang terletak di tengah kota raya yang dekat dengan pusat membeli-belah, pusat hiburan dan ditambah dengan penggunaan telefon pintar yang penuh dengan aplikasi terkini, tidak menghalang pelajar bernama Amirah Haziqah Zamani, 18 untuk mencapai keputusan cemerlang 9A+.
Amirah dinobatkan menjadi Pelajar Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki (SAB) Kuala Lumpur.
SAB mencatatkan seramai 42 calon mendapat keputusan semua A dalam semua mata pelajaran dan Amirah satu-satunya pelajar yang mendapat keputusan A+ bagi sembilan mata pelajaran penuh di sekolah tersebut.
Kata Amirah, persekitaran sekolah yang terletak di tengah bandar dan telefon pintar tidak menggugat fokusnya kerana apa yang penting adalah disiplin ketika mengulangkaji pelajaran.
“Saya ada juga keluar ketika hujung minggu tetapi tidak selalu. Perlu tahu had kalau nak berhibur dan dalam penggunaan telefon pintar. semua dihadkan, itu pengorbanan yang saya harus lakukan demi mendapat keputusan yang baik dan membanggakan ibu dan ayah,” jelas Amirah yang menggemari mata pelajaran Matematik Tambahan.

SPM2014
Amirah (kiri) bersama rakan-rakan yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2014
Kata mereka, penggunaan aplikasi WhatsApp, Facebook dan Instagram amat dielakkan terutama sekali ketika sedang mengulangkaji pelajaran.
“Kalau ada telefon memang tak jadi nak belajar, apa yang saya buat, saya letak jauh-jauh atau beri pada ibu bapa untuk simpan ketika saya sedang belajar,” ujar Kamaleshwaran.
Manakala bagi Intan, penggunaan aplikasi tersebut dihadkan hanya untuk membincangkan mengenai pelajaran.
“WhatsApp saya gunakan hanya untuk berbincang hal pelajaran dan telefon pintar memang cabaran bagi saya. Yang penting perlu disiplin yang tinggi,” jelas Intan.

SPM2014
(Dari kiri) Intan Syafinaz Hatta, Kamaleshwaran A/L Ganesan dan Razleena Aida Mohamed Razif antara 42 mendapat semua A dalam sembilan mata pelajaran - Foto Astro AWANI
Bagi Razleena pula, penggunaan telefon kadangkala perlu bagi menghilangkan tekanan.“Saya hanya gunakan telefon atau keluar bersiar-siar selepas selesai belajar dan menghilangkan tekanan. Sebagai pelajar, kita kena bijak seimbangkan aktiviti harian dan belajar.
SAB antara sekolah yang sentiasa memperoleh keputusan cemerlang setiap tahun.
Sekolah ini berada dalam kelompok lapan sekolah cemerlang yang masih lagi mengekalkan peratusan lulus 100 peratus dan antara lima sekolah terbaik di ibu kota yang lulus semua mata pelajaran.
Namun begitu, bilangan calon yang memperolehi keputusan cemerlang gred A+, A dan A- pada peperiksaan SPM 2014 menurun kepada 2.62 peratus.
Hanya 11, 289 calon daripada 455,839 calon memperolehi semua gred A tahun ini dalam semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 13, 970 calon pada 2013.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami