Elak minum dalam tin kitar semula, nak 'hipster' pun biar berpada-pada

Nursyazwani Saiful Sham
Disember 3, 2018 11:09 MYT
Orang ramai dinasihatkan untuk mengelak daripada minum daripada tin susu yang dikitar semula. -Facebook KKM
ORANG ramai dinasihatkan untuk mengelak daripada minum daripada tin susu yang dikitar semula.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi akaun Facebooknya berkongsi pandangan pegawai perubatan yang berpendapat bahawa penggunaan tin dikitar semula adalah membahayakan pengguna.
Menurut kenyataan itu, antara risiko menggunakan tin dikitar semula adalah bahaya luka atau trauma pada kawasan muka, dan juga risiko keracunan makanan jika tin yang digunakan itu karat atau kotor.
"Bayangkan beberapa perkara yang boleh terjadi seperti Leptospirosis (kencing tikus), Diabetes Mellitus (kencing manis), Tetanus infection (kancing gigi), trauma luka akibat besi tajam dan penyakit lain iaitu tiga serangkai kesan daripada kencing manis."
"Kesimpulannya sangat tidak digalakkan untuk dihidang minuman dalam tin."
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan viral di media sosial sebuah kedai makan dipercayai di Pulau Pinang yang menghidangkan minuman kepada pelanggan menggunakan bekas tin susu.
Dalam perkongsian sama, para peniaga turut dinasihatkan untuk berpada-pada dalam menggunakan taktik ‘hipster’ bagi menarik perhatian orang ramai.
"Perlu berpada-pada untuk membuat sesuatu yang hipster bagi menarik perhatian orang ramai. Utamakan keselamatan dan kesihatan."
Pengendali Facebook KKM itu walau bagaimanapun berkata kenyataan yang dibuat merupakan pandangan daripada pegawai perubatan dan bukan kenyataan rasmi kementerian.
#bahaya #Diabetes Mellitus #Kementerian Kesihatan #Kementerian Kesihatan Malaysia #kencing manis #kitar semula #kotor #leptospirosis #Tetanus infection #tin susu