KUALA LUMPUR:Ahli politik terutama anggota eksekutif perlu menjadi contoh kepada masyarakat tatkala kebimbangan rakyat memuncak seiring peningkatan kes positif COVID-19.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan sebarang pergolakan mahupun konfrontasi politik termasuk melaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU) hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Sungguh pun politik penting untuk negara, tetapi apabila kita pertimbang situasi di dunia ketika ini termasuk tahap kesihatan awam, tiada perkara yang lebih penting daripada kesihatan awam.

“Politik boleh tunggu. Tetapi soal penyakit atau jangkitan ini tidak boleh ditunggu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau mengemukakan pandangan tersebut susulan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak ketika ini, terutama pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Malah, ulasan beliau itu turut berkait ura-ura yang menyatakan bahawa PRU akan diadakan dalam masa terdekat selain wujud dakwaan akan berlaku peralihan kerajaan dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata pelbagai mesej telah disampaikan kepada masyarakat untuk mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan pencegahan COVID-19.

Beliau berpandangan, pentingnya ‘kepimpinan melalui teladan’ diterapkan sepanjang masa lantaran rakyat memerhati segala tindak tanduk yang dilakukan ahli politik ketika ini.

“Apabila mesej (pematuhan SOP) ditujukan kepada masyarakat, orang ramai diwajibkan patuhinya. Sebagai pemimpin negara, tokoh politik atau wakil rakyat, mereka harus menjadi teladan.

“Jangan timbulkan satu situasi di mana rakyat diwajibkan patuh segala SOP, tetapi ada golongan istimewa melibatkan ahli politik yang melakukan sesuatu kesalahan tanpa dikenakan hukuman, sebagainya.

“Akhirnya, masa telah tiba untuk semua tokoh politik dan pemimpin negara, tidak kira mereka datang dari parti pemerintah atau pembangkang, masing-masing ada tanggungjawab untuk bantu Kementerian Kesihatan menangani pandemik ini,” katanya.

Justeru, beliau menggesa semua rakyat tidak kira kaum, bangsa, darjat mahupun latar politik untuk bersama-sama mematuhi segala SOP dan bersama bertanggungjawab menangani COVID-19 di negara ini.