KUALA LUMPUR : Pemberian vaksin terhadap golongan kanak-kanak tidak sepatutnya dilengahkan kerana ia dibimbangi mendatangkan risiko kepada kepada kumpulan berkenaan.

Menurut Pakar Pediatrik Dan Ahli Panel DoktorBudak.com, Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzil, sekiranya pemberian vaksin tidak diberikan secara menyeluruh, maka kanak-kanak akan menjadi terpinggir.

“Bila kita hanya fokus terhadap pemberian vaksin bagi golongan tertentu, ini secara tidak langsung akan meminggirkan golongan kanak-kanak.

“Kanak-kanak juga antara kumpulan yang mempunyai risiko, dan kita tidak mahu apabila ibu bapa mereka tidak mengambil vaksin, dan ini mendatangkan risiko terhadap mereka.

"Kerajaan sebenarnya boleh mula mendapatkan bekalan vaksin yang lebih bagi persediaan untuk diberikan kepada kanak-kanak dan ini sedikit sebanyak dapat kurangkan risiko mereka (kanak-kanak) sekiranya keadaan pandemik ini berpanjangan,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.


Vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak

Dalam masa yang sama, Dr Mohd Zaqrul berpendirian, ketika ini bukan langkah yang sesuai untuk membuka semula sesi persekolahan kerana ia jelas mendatangkan risiko.

Sekiranya keadaan memaksa sesi persekolahan dibuka maka prosedur operasi standard (SOP) perlu dipertingkat termasuk kadar bilangan pelajar bagi setiap kelas dan juga susun atur pelajar.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham memaklumkan, bilangan kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 berada dalam keadaan membimbangkan dan ini termasuk bilangan mereka yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).