BANGI: Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar sedia ada dan baharu di bawah (Majlis Amanah Rakyat) MARA, yang sedang mengikuti pengajian dalam dan luar negara, akan diselaras mengikut peningkatan kos, inflasi, dan keperluan pelajar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, kadar elaun sedia ada telah diguna pakai sejak lebih 13 tahun dan terdapat keperluan untuk disemak semula.

Beliau berkata, semakan semula itu adalah susulan peningkatan kos sara hidup dalam negara sejak 10 tahun lalu, yang diburukkan lagi oleh pandemik dan isu-isu lain yang melanda dunia.

“Pelaksanaan kadar ESH baharu bagi pelajar dalam negara dinaikkan minimum RM650 sehingga maksimum RM950 sebulan bagi bidang pengajian bermula daripada peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah dan profesional.

“Bagi pelajar luar negara pula, ESH dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksimum RM7,600 sebulan bermula daripada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga peringkat Doktor Falsafah dan peringkat profesional,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di majlis Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia di Feisol Hassan-Halle German Malaysian Institute, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau berharapkan seluruh pelajar Keluarga Malaysia sama ada di dalam dan di luar negara, dapat merancang dan menguruskan elaun sara hidup yang disalurkan itu dengan sebaik mungkin.

Dalam siaran media Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, kadar elaun sara hidup pelajar dalam negara sebelum ini adalah berdasarkan Kadar A bagi kawasan bandar besar dan Kadar B bagi kawasan luar bandar iaitu minima RM535 hingga maksima RM885 sebulan dari peringkat Diploma hingga Doktor Falsafah.

Manakala pelajar luar negara pula diseragamkan kepada Kadar A dan B sahaja, termasuk Amerika Syarikat, manakala Kadar C telah dimansuhkan.

KPLB berkata, kadar elaun sara hidup pelajar luar negara sebelum ini antara RM1,200 hingga RM5,712 sebulan.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata,sepanjang penubuhan MARA sejak 56 tahun lalu, institusi tersebut berjaya memainkan peranan mendidik, melatih, serta melahirkan modal insan berilmu dan berkemahiran tinggi bagi keperluan negara

“Sehingga hari ini seramai 1. 3 5 juta pelajar Melayu dan Bumiputera telah mendapat manfaat. Kejayaan besar MARA amat terserlah dalam sektor pendidikan apabila berjaya melahirkan nama nama besar bukan sahaja dalam perkhidmatan awam bahkan sektor korporat.

“Jelas sekali sepanjang penubuhannya, MARA telah membuktikan peranan penting terhadap pembangunan sosio ekonomi negara dengan lebih daripada empat juta Bumiputera telah diperkasa melalui keusahawanan, pendidikan dan pelaburan berimpak tinggi,” katanya lagi.