GEORGE TOWN: Simpanan air Empangan Air Itam, di Pulau Pinang hanya mampu bertahan untuk 40 hari, manakala Empangan Teluk Bahang pula (146 hari) susulan cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari, berkata jika hujan tidak turun di kawasan tadahan, empangan tersebut dijangka kehabisan sumber air yang akan menjejaskan ratusan ribu pengguna.

Zairil berkata, setakat 8 Mei, Empangan Air Itam merekodkan paras 41.5 peratus manakala empangan Teluk Bahang pada paras 48.1 peratus.

Katanya, taburan hujan rendah di kawasan tadahan air (KTA) empangan dan penggunaan air yang tinggi menjadi dua faktor utama menyebabkan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang menurun.

"Walaupun hujan banyak tahun ini melebihi tahun lepas tetapi ia tidak hujan di kawasan betul (KTA) maka ia jadi air yang membazir kerana tidak masuk ke dalam empangan.

"Kita sudah laksana operasi pembenihan awan first round ada peningkatan tetapi ia tidak mencukupi, malah untuk Empangan Air Itam sekiranya tidak hujan ia bertahan  40 hari sahaja, ia paling kritikal..

"Selain itu, penggunaan air sangat tinggi (juga menyebabkan paras air turun)," katanya.

Zairil berkata demikian pada sidang media berhubung situasi empangan terkini di Pulau Pinang di Komtar, Pulau Pinang pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd, K Pathmanathan.

Menurut Zairil, Empangan Air Itam membekalkan air kepada pengguna di bandar Air Itam, Paya Terubong dan kawasan sekitarnya membabitkan kira-kira 30,000 orang.

Sementara Empangan Teluk Bahang pula membekalkan air kepada 500,000 pengguna di sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya.

Zairil berkata meskipun operasi pembenihan awan telah dijalankan di kawasan-kawasan tadahan air awal Mei lepas namun ia masih belum dapat memenuhkan kawasan  empangan.

Susulan itu, pihaknya berharap operasi pembenihan awan gelombang kedua di Pulau Pinang dapat dilakukan dalam masa terdekat bagi memastikan kapasiti air di kawasan tadahan terus meningkat.

Dalam pada itu, penduduk negeri itu diminta menggunakan sumber air dengan berhemah dan tidak melakukan pembaziran bagi memastikan tidak berlaku krisis air yang kritikal.