MUAR: Jenazah empat beradik yang maut dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, di sini Rabu malam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, di sini, malam tadi.

Jenazah Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4; dan Fatihah Aisyah, 3; dikebumikan dalam satu liang lahat kira-kira 8.15 malam.

Ibu bapa kanak-kanak berkenaan Nabila Sedu, 31; dan Thein Ko Htut, 30, kelihatan masih sugul dan tidak bermaya tatkala jenazah keempat-empat anak mereka disemadikan.

Terdahulu, keempat-empat jenazah disembahyangkan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) yang turut disertai ahli keluarga dan keluarga terdekat sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.

Pada Rabu, kesemua kanak-kanak tersebut ditemukan maut di bilik air di bahagian dapur rumah selepas rumah sewa yang didiami mereka terbakar sehingga 70 peratus.

keempat-empat jenazah disembahyangkan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah. - Foto Facebook Ebit Lew

-- BERNAMA