SUNGAI PETANI: Ketika kebanyakan masyarakat di negara ini sibuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tetapi tidak kepada pasangan suami isteri bersama dua anak perempuan yang terpaksa tinggal di dalam bangsal kereta di Kampung Sungai Batu, Merbok, Kedah.

Jamil Ahamad, 35, berasal dari Kuala Pegang, Baling berkata, lebih memilukan, isterinya, Siti Norshahira Nabila Hamzah, 28, kini sarat mengandung anak ketiga.

Menurutnya, sebelum ini mereka sekeluarga menyewa di Seberang Perai Utara, namun disebabkan masalah kewangan, mereka tidak dapat melunaskan sewa rumah yang tertunggak.

Berikutan itu mereka mengambil keputusan untuk berpindah ke kampung isterinya di Sungai Batu dan tinggal bersama dua anaknya, Nur Iman Arissa, 5, dan Nur Amani Arisha Jamil, 4, untuk berteduh buat sementara waktu.

"Nak beli kelengkapan untuk hari raya memang tak ada lah.

"Orang rumah cakap dia buat rumah dahulu atau tempat tinggal kita atau beli kelengkapan raya, lepas tu dia cakap tak apa kita buat tempat tinggal dahulu. Itu yang saya buat lantai dahulu sebelum ini lantai cuma tanah sahaja," katanya.

Keadaan di dalam bangsal yang diduduki empat sekeluarga di Kampung Sungai Batu. - Astro AWANI

Siti Norshahira yang dijangka bersalin bulan depan berkata, suaminya sebelum ini mengambil upah bekerja kampung dan pernah menjadi pengawal keselamatan, namun disebabkan ada masalah berkaitan gaji, dia terpaksa berhenti kerja.

Katanya, bangsal ini dibina suaminya dengan susunan bata selain dinding yang dipasang dengan kanvas serta berlantaikan simen, menjadi tempat mereka empat beranak tidur dan menjalani kehidupan seharian tanpa kemudahan asas lengkap.

"Nak masak tengok beras tak ada, memang sedih anak-anak nak makan kadang-kadang bangun kata ibu kakak lapar, adik lapar.

"Duduk macam mana pun orang tak tahu kita ada duit, tak ada duit, lepas itu terpaksa pergi hutang dekat kedai dahulu.

"Nasib baik tuan kedai bagi, mintak kedai hutang dahulu balik masak makan apa yang ada, telur atau ikan masin, yang itu sahaja," katanya.

Jelasnya, walaupun Ramadan hanya tinggal beberapa hari lagi, namun tiada persiapan Hari Raya Aidilfitri dibuat.

"Saya fikir kalau dapat beli baju anak-anak pun Alhamdulillah. Kami tak ada pun tak apa yang itu sahaja, janji anak-anak seronok," katanya.

Justeru pasangan ini berharap ada sinar Aidilfitri buat mereka sekeluarga dan setidaknya dapat membeli pakaian dan barangan makanan untuk anak-anak mereka.