KEMAMAN: Empat buah rumah kedai yang berusia lebih 60 tahun musnah dalam kebakaran di Bandar Chukai, Kemaman pada Isnin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang itu telah memusnahkan kedai pakaian terpakai, kedai peralatan pembinaan, restoran serta kedai sejuk beku.

Ketika kejadian, rata-rata peniaga sedang menjalankan aktiviti perniagaan di kedai masing-masing sebelum melihat kepulan asap tebal.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kesemua mangsa sempat keluar dari bangunan tersebut untuk menyelamatkan diri.

"Saya sedang susun barang, dengar orang jerit api, saya tengok, kedai saya ada pemadam api, saya bagi anak buah saya.

"Api masa tu tak besar tapi angin kuat," kata Wang Soon Min, pemilik kedai.

Sementara itu Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata seramai 34 orang anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Chukai, Kemaman dan Kijal bersama empat jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya sebaik tiba pihaknya mendapati api sedang marak membakar struktur kedai yang dibina daripada kayu.

"Api merebak dengan cepat akibat oleh faktor cuaca dan struktur bangunan kayu ditambah dengan bahan bakar yang terdapat di dalam bangunan tersebut," kata Azman.

Menurut Azman, kebakaran tersebut berjaya dipadamkan sepenuhnya pada kira-kira jam 6 petang.

Jelasnya, punca kejadian serta anggaran kerugian kini masih dalam siasatan.