MELAKA: Sebanyak empat restoran atau dapur hotel termasuk sebuah hotel empat bintang di negeri ini diarah tutup sementara kerana didapati kotor.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata dalam Op Hotel pada Selasa dan Rabu lepas, pihaknya mengesan pembiakan lipas dan najis tikus di bawah kabinet dapur premis berkenaan dan arahan penutupan selama 17 hari bermula Selasa dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Beliau berkata 14 kompaun bernilai RM10,400 turut dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 atas pelbagai kesalahan termasuk pekerja tiada suntikan antitifoid, tiada kursus pengendali makanan serta tidak memakai apron dan penutup kepala.

"Sebanyak 40 hotel di sekitar Melaka antaranya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Bukit Katil, Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Hang Tuah, Banda Hilir, Melaka Raya dan Pulau Melaka telah diperiksa dalam Op Hotel yang dijalankan selama dua hari.

"Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan, tahap kebersihan empat daripada restoran atau dapur hotel yang diperiksa didapati tidak memuaskan dan arahan penutupan telah dikeluarkan bagi kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh pihak hotel terlibat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata lapan hotel didapati mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik dan sembilan kompaun bernilai RM4,500 telah dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Katanya, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bersama Unit Inspektorat dan Perundangan akan terus meningkatkan pemantauan ke atas semua premis makanan dan minuman, khususnya hotel di negeri ini, bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan akta lain yang dikuatkuasakan di bawah jabatan itu.

Dr Rusdi berkata Jabatan Kesihatan negeri sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara atau perbuatan yang boleh mengancam kesihatan awam termasuk pelancong.

"Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan dan kebersihan premis, orang awam boleh menghubungi pejabat kesihatan daerah terdekat atau Jabatan Kesihatan negeri," katanya dan menambah aduan juga boleh dibuat di laman sesawang http://moh.spab.gov.my.

-- BERNAMA