JOHOR BAHRU: Empat lelaki warga tempatan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah  (JSJ) Johor kerana terlibat dalam kes ugutan ah long terhadap Timbalan Pengerusi MCA Kulai.

Ketua Polis johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan dibuat hasil serbuan di empat lokasi berbeza di sekitar Johor bahru pada 27 dan 31 Oktober lalu.

Kesemua suspek yang ditangkap berumur antara 18 hingga 34 tahun.

“Pada 7 Oktober lalu, satu aduan telah dibuat oleh Timbalan Pengerusi MCA Kulai yang mana rumah beliau telah disimbah cat dan ditampal notis hutang ekoran daripada tindakan beliau yang banyak membantu mangsa yang terlibat dalam kes-kes ah long.

“Pihak polis turut merampas sembilan buah telefon bimbit dan kad SIM, empat keping nombor pendaftaran kenderaan dan dua bilah pedang." katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Bahru.

Terdahulu, pihak polis menerima aduan berkenaan kediaman Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon, yang disimbah cat oleh individu tidak dikenali pada 7 Oktober lalu.

Menurut Ayob Khan, hasil siasatan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

Pihak polis telah melengkapkan kertas siasatan dan kes telah dirujuk kepada pihak mahkamah.

“Dengan kejayaan penangkapan ini, pihak polis berjaya menyelesaikan lapan kes ugutan jenayah dan simbah cat yang dilakukan kumpulan ini,” katanya.

Seorang daripada suspek yang berumur 34 tahun akan dituduh mengikut seksyen 507 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kulai pada Rabu, 10 Oktober.

Mengikut pertuduhan, jika disabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi 2 tahun.

Berdasarkan statistik pada tahun ini, sebanyak 242 kes telah dilaporkan melibatkan jenayah ugutan ah long

Daripada jumlah itu, 75 kes berjaya diselesaikan menerusi tangkapan dan pertuduhan, manakala 33 kes lagi telah dijatuhkan hukuman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA).