KUALA TERENGGANU: Empat kanak-kanak cedera akibat terkena letupan mercun yang diubah suai dalam kejadian di Kuala Nerus, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din berkata dalam kejadian pada kira-kira 8.30 malam itu, seorang daripada mangsa cedera di bahagian mata manakala tiga rakannya cedera di badan, ketika membakar mercun di kawasan rumah seorang daripada mangsa.

"Tiga daripada mangsa yang berusia antara lapan hingga 13 tahun itu dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala mangsa yang cedera di mata dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu siasatan juga melibatkan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kesalahan mengabaikan kanak-kanak yang membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Susulan itu, beliau mengingatkan orang ramai terutamanya ibu bapa supaya sentiasa mengawasi dan memantau segala aktiviti anak-anak di bawah umur ketika bermain mercun atau bunga api.

Menurut Abdul Rahim pengabaian ke atas kanak-kanak adalah satu kesalahan yang membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap ibu bapa sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

"Selain itu polis mempunyai skuad khas yang memantau penjualan bunga api dan mercun tanpa lesen di setiap daerah," katanya.

-- BERNAMA