BESUT:Semua empat nelayan asing yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Besut ditemui selamat.

Kesemua mangsa yang berusia 30 hingga 40-an itu dikesan di perairan Pulau Susu Dara, Besut kira-kira jam 3.48 petang Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, kesemua mangsa diselamatkan oleh bot nelayan tempatan semasa melalui kawasan terbabit.

Katanya ketika ditemui kesemua mangsa sedang berpaut pada bot mereka yang hampir tenggelam.

Jelasnya seorang tekong warga Thailand dan tiga kru warga Myanmar itu dibawa balik ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tok Bali, Kelantan.

Azrol Anuar berkata, hasil pengecaman yang dilakukan pemilik bot terbabit mengesahkan semua mangsa yang ditemui adalah kru mereka.

Beliau berkata mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Besut untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

BACA: 4 nelayan dikhuatiri lemas selepas bot karam

Pada awal pagi Rabu seorang nelayan ditemui selamat manakala empat yang lain hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam.

Insiden itu dipercayai berlaku kira-kira 12 batu nautika dari perairan Besut berhampiran Pulau Perhentian kira-kira jam 3 pagi.

Ketika kejadian bot tempatan yang dikendalikan warga asing berkenaan dalam perjalanan dari Jeti Perikanan Geting, Kelantan untuk menangkap ikan di tengah laut sebelum dilanda ribut dan ombak besar.