SEPANG: Empat lagi rakyat Malaysia yang diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menawarkan gaji lumayan di Kemboja berjaya dibawa pulang ke tanah air pada Sabtu.

Kumpulan itu tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira 2 petang menaiki penerbangan MH755.

Sementara lima lagi mangsa masih lagi berada di negara itu menunggu proses dokumentasi dan dijangka tiba dalam masa terdekat.

Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dengan kepulangan empat mangsa ini menjadikan sejumlah 54 rakyat Malaysia yang terperdaya dengan modus operandi yang sama dari pelbagai negara termasuk Kemboja, Myanmar dan Laos berjaya diselamatkan setakat ini.

"Setakat ini, polis menerima 156 laporan melibatkan 189 mangsa yang terpedaya dalam sindiket penawaran kerja.

"Sehingga sekarang, kita berjaya menyelamatkan 54 mangsa termasuk empat individu berusia 29 hingga 41 tahun, yang dibawa pulang hari ini, manakala baki 135 mangsa masih lagi berada di luar negara dan masih dikesan menerusi kerjasama negara berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di KLIA di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, mengulas lanjut Hussein tidak menolak kemungkinan ada penglibatan ejen atau rakyat tempatan dalam sindiket ini.

Juteru katanya, polis menerusi pasukan khas dengan kerjasama pelbagai pasukan penguat kuasa termasuk Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis Negara ASEAN (ASEANAPOL) sedang menjalankan siasatan terperinci.

Ditanya mengenai modus operandi sindiket itu, beliau menjelaskan sindiket berkenaan menawarkan tawaran pekerjaan dengan gaji bulanan dari RM5,000 sehingga RM8,000 di media sosial.

"Namun apabila sampai di sana (negara berkenaan), mangsa baru menyedari diri mereka terperdaya dan apabila mereka menyatakan hasrat untuk kembali ke negara asal, mangsa diugut, didera atau diminta membayar 'wang penalti' antara RM50,000 dan RM80,000 setiap seorang," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Konsular, Jabatan Protokol dan Konsular, Kementerian Luar, Mohd Adli Abdullah menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan meneliti sebarang tawaran kerja terutamanya yang dikongsi di media sosial supaya tidak 'terperangkap' dengan mana-mana sindiket seumpama itu.