KUALA TERENGGANU: Empat lelaki diarah membela diri atas pertuduhan rogol berkumpulan terhadap seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, tiga tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu Nooriah Osman membuat keputusan itu terhadap Tuan Muhammad Shafiq Tuan Ismail, 24, Muhammad Ghardafi Abdullah, 23, Ahmad Syah Herfudin Omar, 26, dan seorang lagi pemuda berusia 20 tahun, selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama merogol mangsa yang berusia 12 tahun ketika kejadian.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di ladang sawit di Ketengah Jaya, Dungun antara jam 9 malam hingga 11 malam pada 29 September 2020.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 7 Mei depan sebagai tarikh bicara kes di peringkat pembelaan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh yang berusia 19 tahun dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadapnya pertuduhan itu.

Pendakwaaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Wan Syahrizal Wan Ladin, Nik Ismail Nik Lah dan Masliela Ismail.

Media sebelum ini melaporkan lima lelaki ditahan kerana disyaki merogol murid tahun enam.

Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa ditahan dua suspek dengan seorang daripadanya dikenali dan kemudian mengajaknya ke ladang sawit sebelum dirogol.