Empat mayat termasuk dua kanak-kanak ditemui di dalam sebuah rumah yang digunakan oleh pengganas Sulu untuk bertahan ketika satu pertempuran dengan pasukan keselamatan pagi tadi.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md Zin dalam satu sidang media mengatakan seorang anggota tentera Malaysia turut cedera ditembak pengganas.

“Turut ditemui seorang kanak-kanak yang mengalami kecederaan dan telah diterbangkan segera ke Hospital Sandakan dengan helikopter,” kata Zulkifeli.

Menurut Zulkifeli, anggota pasukan keselamatan yang sedang melakukan operasi ‘mopping up’ dan penggeledahan di kawasan Kampung Tanjung Batu jam 9.15 pagi tadi telah terserempak dengan dua pengganas di kawasan itu.

“Lalu, berlakulah pertempuran dan dua musuh itu telah berlari masuk ke dalam sebuah rumah di kawasan tersebut. Melihat situasi itu, anggota keselamatan menghampiri rumah tersebut namun telah ditembak oleh pengganas yang turut mengakibatkan seorang anggota tentera kita tercedera di peha kanan akibat tembakan tersebut,” kata Zulkifeli.

Tambahnya, berlaku satu lagi pertempuran selepas itu dan kali ini seorang dari dua pengganas terbabit bertindak melarikan diri menghala ke sebuah rumah berdekatan.

“Anggota keselamatan pun berbalas tembakan kembali dengan musuh yang melarikan diri itu dan tidak beberapa lama kemudian, rumah itu telah terbakar."

Pasukan keselamatan yang menjalankan operasi ‘mopping up’ telah memasuki rumah itu dan menemui mayat bergelimpangan.

“Dua orang dewasa, seorang daripadanya adalah wanita dan dua mayat kanak-kanak dimana seorang daripadanya adalah kanak-kanak perempuan ditemui. Kita juga menemui seorang kanak-kanak lelaki yang cedera dan segera dibawa ke hospital,” katanya lagi.

Penggeledahan keatas rumah itu kemudiannya menjumpai bekalan makanan namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat-mayat terbabit.

Zulkifeli percaya mayat-mayat terbabit bukan terdiri dari warganegara Malaysia dan mereka dipercayai bersubahat dengan anggota pengganas meskipun mereka tidak berada bersama kumpulan pengganas itu.

Mayat-mayat yang ditemui itu sedang dibedah siasat manakala kanak-kanak lelaki yang ditemui cedera dalam pertempuran itu pula masih menerima rawatan selanjutnya.

“Kawasan Kampung Tanjung Batu telah lama dikosongkan oleh penduduk kampung tersebut dan kita telah memberi peluang kepada penduduk kampung untuk keluar dari kampung itu kerana keadaan yang sangat merbahaya,” katanya lagi.

Katanya, walaupun kawasan Kampung Tanjung Batu adalah sektor terakhir untuk operasi ‘mopping up’ dan penggeledahan, masih terdapat banyak ancaman pengganas di kawasan itu.

“Masih banyak pertempuran berlaku di kawasan Tanjung Batu terutama di kawasan rumah yang terbakar itu. Malah pada sekitar jam 1 petang pada 20 Mac lepas juga, telah berlaku pertempuran antara pasukan keselamatan dan pengganas dimana kita berjaya membunuh seorang pengganas berhampiran rumah itu,” beliau berkata.

Pada jam 2.45 petang hari yang sama juga, anggota keselamatan berjaya menangkap seorang wanita dipercayai pengganas yang bersembunyi dalam belukar di kawasan itu juga.