KUALA LUMPUR: Empat negara akan terlibat dalam Rondaan Maritim Selat Melaka (MSP), iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, dan Singapura, Dewan Rakyat diberitahu pada Khamis

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia merupakan satu lagi pendekatan penting dalam usaha memelihara keselamatan di rantau ini.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, MSP bertujuan untuk bertujuan membendung cabaran keselamatan dan ancaman perlanunan dengan melibatkan kerjasama antara tentera laut dan udara,  dari empat buah negara ASEAN tersebut.

"Satu lagi usaha iaitu Rondaan Maritim Selat Melaka, iaitu untuk menjamin Selat Melaka yang telah mendapat persetujuan dari Perdana Menteri Singapura (Lee Hsien Loong), dan Timbalan Perdana Menteri Thailand Prawit Wongsuwan 26 Mei lepas.

“Empat negara ASEAN ini akan bekerjasama memastikan keselamatan di selat Melaka insya allah," katanya lagi.

Hishammuddin berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera), tentang perancangan kerjasama ketenteraan trilateral (TCA) antara Filipina, Indonesia dan Malaysia, dan sama ada kerjasama ketenteraan akan dilanjutkan kepada negara-negara ASEAN lain.

Mengulas mengenai TCA, beliau berkata, setakat ini ketiga-tiga negara bersetuju untuk mewujudkan Maritime Command Centre (MCC) di Tawau, Sabah; Tawi-tawi, Filipina; dan Tarakan, Indonesia.

Katanya lagi, MCC itu bertujuan sebagai saluran komunikasi, meningkatkan koordinasi operasi dan kerjasama perisikan bagi menyokong aktiviti rondaan laut dan udara melalui inisiatif trilateral maritime patrol (TMP) dan trilateral air patrol (TAP).

"TMP dan TAP merupakan rondaan terkoordinasi yang dilaksanakan dengan melibatkan aset Tentera Laut dan Udara dari ketiga-tiga buah negara"

“Selain itu beliau berkata, ketiga-tiga negara bersetuju untuk melaksanakan operasi hot pursuit iaitu mengejar, merentasi sempadan perairan melibatkan angkatan tentera dan agensi keselamatan masing-masing.

“Melangkah ke hadapan, baru-baru ini, dikesampingan Defence Services Asia (DSA) pada Mac, pertemuan peringkat Menteri antara saya; Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto; dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana telah diadakan buat pertama kalinya sejak COVID-19 melanda.

“Hasil pertemuan tersebut, ketiga-tiga negara telah sepakat untuk melaksanakan satu lagi pendekatan iaitu meneroka potensi kerjasama antara Tentera Darat ketiga-tiga negara memandangkan buat masa ini TCA lebih berfokus kepada laut dan udara sahaja,” katanya lagi.