MELAKA: Kerajaan negeri menerusi empat pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membangun dan menaik taraf produk pelancongan baharu terutama yang berkonsepkan ekopelancongan sebagai persediaan Tahun Melawat Melaka 2024.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan berkata ia termasuk perancangan mewujudkan zoo safari di Bukit Langsat, Jasin dengan kawasan seluas 114 hektar.

"Kita akan menaik taraf taman rekreasi, pembangunan semula Pantai Klebang dan Pantai Puteri selain produk pelancongan baharu di Zoo Melaka seperti rumah reptilia dan muzium haiwan yang diawet.

"Kita juga akan memberi tumpuan dalam aspek keceriaan dan kebersihan serta pengindahan landskap di kawasan sekitar sebagai usaha memberi perkhidmatan terbaik untuk menarik pelancong," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Terdahulu, beliau menyempurnakan penyerahan bendera dan simbolik pelepasan dua kakitangan PBT di Melaka yang akan menyertai ekspedisi mendaki ke Annapurna Base Camp, Nepal dari 25 Feb hingga 11 Mac ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Rosemanizam Mohammed Nalif dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Saifuddin Abdul Karim.

Kakitangan yang menyertai ekspedisi itu ialah Penolong Jurutera Jabatan Kejuruteraan MPJ Mahdhar Mohd Noh, 35, dan Pengarah Bangunan MPAG Abdul Rahman Nordin, 51.

Mereka turut membawa misi mengibarkan bendera PBT masing-masing di puncak gunung setinggi 4,130 meter dari aras laut itu dengan jangkaan jarak pendakian naik dan turun sejauh 150 kilometer selama 10 hari.

Abdul Rahman berkata mereka melakukan persediaan rapi sejak beberapa bulan lepas bagi memastikan tahap fizikal kekal cergas dan mampu menamatkan ekspedisi selama 15 hari itu.

Beliau berkata antara persediaan yang dilakukan ialah mendaki Bukit Beruang dan Gunung Datuk di Negeri Sembilan selain mengamalkan petua mengunyah bawang putih mentah sebelum ekspedisi bagi mengelakkan risiko mabuk gunung akut (AMS) sewaktu pendakian.

"Pendakian di gunung yang melebihi ketinggian 2,500 meter juga terdedah kepada AMS iaitu sejenis penyakit ketinggian yang boleh menyebabkan kematian selain cabaran berdepan kecederaan otot yang serius ketika mendaki dan cuaca sejuk melampau," katanya.

-- BERNAMA