MERSING: Empat pemancing ditemui selamat setelah berdepan detik cemas selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di perairan Pulau Tengah, Mersing pada jam 5 petang semalam.

Mangsa, Faizal  Dollah, 43, Mohamad Fairuz Daron, 35, Mohd Rizal Hassan, 34, dan Mohamad Asyraf Ali, 33 yang semuanya berasal dari Mersing telah ditemui dalam keadaan selamat serta tiada kecedaraan dilaporkan.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Mersing menerima aduan berhubung kejadian daripada pengurus sebuah resort di pulau berkenaan.

"Pengurus itu memaklumkan terdapat empat pemancing rakyat tempatan terkandas di pulau tersebut kerana bot yang dinaiki terbalik akibat cuaca buruk.

"Sejurus menerima maklumat, bot Perkasa 44 dari Zon Maritim Mersing telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan sewajarnya.

"Kesemua mereka seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Teluk Gading untuk pemeriksaan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Khairul Nizam, kesemua pemancing memakai jaket keselamatan semasa kejadian.

"Bot mereka terbalik berdekatan dengan pantai resort terbabit, mereka dibantu oleh pelancong yang beriadah berdekatan kawasan itu," katanya.

Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar mengutamakan keselamatan terutamanya ketika keadaan laut yang bergelora dan cuaca yang tidak menentu.

"Tangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan.

"Amalkan langkah keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personal Located Beacon (PLB) bagi memudahkan pihak APMM mengenal pasti lokasi sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Tambahnya lagi, sebarang kecemasan dan aduan jenayah boleh hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.