MELAKA: Empat individu termasuk seorang wanita ditahan polis pada Isnin kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri sarang kelulut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kesemua berusia 23 hingga 28 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, kira-kira jam 12.40 pagi.

Beliau berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 55 tahun berhubung kecurian 10 batang pokok yang merupakan sarang kelulut di kediamannya di Kampung Bukit Kecil Paya Dalam di sini pada 19 Ogos lalu.

"Dalam serbuan itu, kita menahan dua lelaki tempatan, seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita serta merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah itu.

"Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Afzanizar berkata, polis turut menemui empat batang sarang kelulut di Bukit Baru, sekali gus berjaya menyelesaikan dua kes kecurian sarang kelulut di daerah Melaka Tengah dan Jasin.

"Kesemua suspek direman sehingga Khamis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," ujar beliau.


*Berita asal di Sinar Harian