KUALA LUMPUR:Polis melepaskan beberapa das tembakan sebelum menumpaskan empat penjenayah dalam satu kejadian mendebarkan di Sungai Buloh, sekitar tengah hari Jumaat.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat, dalam kejadian berkenaan, tembakan dilepaskan polis selepas suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Axia itu telah melanggar seorang penunggang motosikal yang juga pekerja penghantar makanan.

Kesemua suspek, menurut Fadzil, melarikan diri selepas melakukan jenayah samun di sebuah rumah.

Berdasarkan rekod polis, mereka merupakan kumpulan samun bertopeng yang sebelum ini pernah melakukan lebih 50 jenayah seumpamanya, dan memang dalam buruan pihak berkuasa.
 
"Ketika melarikan diri, kereta suspek juga telah melanggar dan menggilis seorang penunggang motosikal GrabFood.

"Pasukan serbuan terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke atas kereta (penjenayah) demi mempertahankan pasukan dan orang awam," ujarnya.

Keempat-empat penjenayah dilaporkan maut di tempat kejadian.

Pemeriksaan di dalam kereta yang digunakan penjenayah, telah ditemui senjata jenis parang.

Penunggang motosikal yang cedera telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. - Astro AWANI/Fareez Azman

Krew Astro AWANI yang tiba di lokasi kejadian mendapati penunggang motosikal itu dalam keadaan yang tidak parah namun telahpun dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Sewaktu pelanggaran, difahamkan motosikal mangsa dihimpit dan digilis, namun mangsa telah tercampak terlebih dahulu ke atas jalan.

Ketika ini, pihak forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan ke atas mayat penjenayah yang masih berada di dalam kenderaan tersebut.

BACA: Empat suspek ditembak mati merupakan geng samun bertopeng

Mayat empat penjenayah yang ditembak mati di tempat kejadian. - Astro AWANI/Fareez Azman

Petugas media buat masa ini hanya dibenarkan membuat liputan dari kawasan yang dikhaskan polis, sementara pengguna jalan raya, terutamanya penunggang motosikal lain yang cuba berhenti untuk mengambil gambar diarahkan untuk tidak berbuat demikian dan beredar.


Jenayah: Polis tembak mati empat penjenayah


Sidang media Timbalan Ketua Polis Selangor
 
Sebahagian daripada senjata dan hasil samun yang ditemui dalam kenderaan penjenayah. - Astro AWANI/Fareez Azman