KUALA LUMPUR: COVID-19 akan terus berada dengan kita untuk tempoh yang lama dan varian-varian baharu dijangka akan terus muncul.

Untuk kita lebih terbuka ketika hidup bersama virus tersebut, ada empat aspek yang perlu diberi perhatian khusus dan diperkukuhkan, menurut Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Prof Dr Mohamed Rusli Abdullah.

Empat perkara itu katanya melibatkan keupayaan sistem kesihatan, ketelusan dan memanfaatkan sepenuhnya data yang ada, kefahaman tinggi dan keterlibatan masyarakat untuk bersama mematuhi prosedur operasi standard (SOP), serta komitmen tinggi setiap pemegang taruh yang berkaitan dengan usaha menangani wabak ini.

Berkaitan dengan data, beliau merasakan kita mempunyai perolehan data yang lengkap dan cukup untuk membantu dalam usaha meneliti apa sebenarnya cara yang sesuai untuk melawannya.

“Daripada apa yang telah kita alami sebelum ini, data itu wujud tetapi sama ada ia tidak dianalisa atau dikongsi dengan pakar-pakar di luar Kementerian Kesihatan. Kerana itu kita merasakan kita tidak mendapat maklumat yang secukupnya.

“Masyarakat juga perlu mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam negara kita, bagaimana keadaannya COVID-19 yang sedang kita hadapi sekarang, ke mana arah yang sedang kita tuju dan apakah keupayaan kita,” katanya.

Jelas beliau, penglibatan masyarakat dalam usaha negara mengangani wabak ini juga sepatutnya menjadi satu kewajipan kerana ia bukan lagi tuntutan kerajaan semata-mata.

Tegasnya, setiap anggota masyarakat perlu ada rasa tanggungjawab melaksanakan prosedur yang telah pun disarankan, seperti membuat pemeriksaan dan isolasi kendiri sekiranya mempunyai sebarang gejala atau terlibat dengan pertemuan yang berisiko supaya perebakan dapat dikawal.

“Dan yang keempat, kita mesti memastikan semua pemegang taruh terlibat dalam proses ini.

“Misalnya bagaimana untuk kita membuka sempadan, maka setiap agensi berkaitan perlu memastikan polisi SOP dan juga prosedur-prosedur lain yang telah ditetapkan mesti dilaksanakan secara optimum,” ujarnya.

Tonton temu bual penuh bersama Dr Mohamed Rusli bersama hos Nazri Kahar dalam program Agenda AWANI, di sini:

Empat perkara yang perlu kukuh untuk hidup bersama COVID-19

Agenda AWANI: Omicron menyerang, kita boleh menang