TAPAH: Empat rumah dan tiga motosikal musnah dalam kebakaran di Batu 16, Jalan Pahang, dekat sini pada Rabu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.45 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dikerahkan ke lokasi.

"Dalam kebakaran berkenaan, dua buah rumah musnah 95 peratus, sementara dua lagi rumah masing-masing musnah 65 dan 25 peratus.

"Walau bagaimanapun, tiada mangsa terlibat. Kebakaran turut melibatkan tiga buah motosikal pelbagai model yang kesemuanya musnah 90 peratus,” katanya dalam satu kenyatan pada Rabu.

Tambahnya, operasi yang turut dibantu anggota dari BBP Bidor itu menggunakan kaedah ‘receo’ selepas tiada mangsa terperangkap dikenal pasti.

“Anggota bomba membuat pemadaman dengan menggunakan satu aliran 300 kaki dengan dua pancutan bekalan air secara ‘relay pumping’ dari sungai berhampiran. 

“Operasi dilakukan sehingga kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya,” katanya lagi.

Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Nadzri Che Nordin itu tamat pada jam 2.10 petang.