KUALA LUMPUR: Enakmen AntiLompat parti bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan.

Saintis Politik, Profesor Wong Chin Huat berpendapat, apa yang perlu kini adalah tekad politik dan komitmen yang utuh dalam kalangan ahli politik sendiri.

"Barisan Nasional sudah memenangi 2/3 di Melaka jadi secara dasarnya ia tidak sukar. Kalau Melaka berjaya lakukannya, kerajaan persekutuan tak boleh lengahkan lagi.

"Tekad dalam kalangan ahli politik yang mahu bersaing secara sihat dan profesional, itu yang kena ada.

"Apabila ada dua gabungan dalam persekutuan ini perkara biasa dalam demokrasi matang, bersaing dalam pilihan raya tetapi bekerjasama dalam kerajaan," katanya ketika muncul dalam program khas Melaka Memilih yang disiarkan Astro AWANI, hari ini.

Situasi itu, kata Prof Wong, akan lebih menjamin kestabilan sekaligus mengukuhkan manifestasi kemakmuran yang dibawa BN.

"Kalau kita mampu adakan peraturan yang betul dan berkesan, ia akan bantu menstrukturkan persaingan yang sihat dan membawa kestabilan yang lebih kukuh.

"Kalau kita lihat PN berjaya menang kerusi walaupun heavy weights kalah, tetapi ia beri tapak untuk mereka bersaing dengan BN untuk dapatkan undi konservatif Melayu.

KEPUTUSAN PRN MELAKA ADA DI SINI


LAPOR LANGSUNG PRN MELAKA DI SINI



"Kalau ini berjalan dengan baik ia bukan sekadar menguntungkan orang Melayu tetapi baik juga untuk negara," tambahnya.

BN memberi komitmen untuk memperkenalkan enakmen anti lompat parti serta meminda peruntukan undang-undang berkaitannya untuk menangani isu lompat parti dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka.

Komitmen itu dizahirkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas BN berjaya membentuk kerajaan Melaka, dengan memenangi 15 kerusi DUN dalam PRN Melaka.