Enam ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan didenda RM300 hingga RM5,000 kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran perumahan.

Menurut sebuah kenyataan oleh KWSP hari ini, ia adalah bagi tempoh suku tahun pertama 2014 iaitu di antara bulan Januari hingga Mac 2014.

“Sebagai pemegang amanah simpanan persaraan ahli, KWSP tidak akan bertolak ansur terhadap ahli yang mengemukakan tuntutan palsu atau penipuan ke atas simpanan KWSP mereka. KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli yang tidak jujur,” kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Encik Nik Affendi Jaafar.

Menurut beliau juga, dalam tempoh yang sama sejumlah empat saman mahkamah telah difailkan terhadap ahli kerana penipuan pengeluaran.

“KWSP sentiasa memantau ahli yang terbabit. Mereka yang gagal memulangkan amaun yang dikeluarkan selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya,” kata Nik Affendi.

Tambah beliau, KWSP mempunyai sistem yang komprehensif untuk mengesan dan mengenal pasti ahli yang melakukan penipuan pengeluaran walaupun simpanan telah berjaya dikeluarkan.

Nik Affendi turut mengingatkan ahli, terutama yang mengalami masalah kewangan agar berhati-hati akan sindiket yang diiklankan dalam beberapa laman web yang menawarkan bantuan kepada ahli untuk mengeluarkan simpanan KWSP mereka.

Katanya KWSP tidak pernah melantik pihak ketiga untuk mengendalikan permohonan pengeluaran ahli.

“Ahli yang layak dan ingin membuat pengeluaran daripada akaun KWSP mereka perlu berurusan terus dengan KWSP yang menyediakan perkhidmatan secara percuma,” kata Nik Affendi.

Enam ahli berkenaan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991 dan sekiranya mereka gagal membayar denda yang dikenakan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga empat.

Selain itu, beliau juga menggesa ahli agar memberikan sokongan terhadap usaha KWSP dalam membanteras penipuan pengeluaran.

KWSP memaklumkan, ahli yang ingin melaporkan sebarang kegiatan atau percubaan melakukan penipuan pengeluaran boleh menghubungi talian hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

Penipuan pengeluaran yang melibatkan ahli mengemukakan dokumen palsu bagi memperoleh kelulusan pengeluaran daripada akaun KWSP mereka, merupakan kesalahan di bawah Akta KWSP 1991.

Di bawah Akta ini, ahli yang didapati bersalah dalam penipuan pengeluaran boleh dikenakan hukuman maksimum penjara sehingga tiga tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Ahli yang memulangkan wang yang dikeluarkan secara tidak sah dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan.