DALAM dunia ini, di negara apa sekalipun, jika kerajaannya menjalankan tugas sebaik mungkin, pasti negaranya juga akan baik, maju dari semasa ke semasa.

Begitu juga sebaliknya, sekiranya peranan itu tidak dikelola dengan baik, pasti negara dan rakyat juga menerima kesannya bahkan mungkin menjadi semakin mundur.

Fakta itu boleh dikatakan ramai sudah tahu namun hakikatnya, masih ada juga kerajaan yang masih leka, masih lagi melakukan perkara-perkara yang merugikan negara.

Namun, ruang untuk memperbaiki dan menjadi semakin baik sentiasa terbuka luas dan menurut laporan The Performance Institute, berikut antara faktor yang mampu meningkatkan prestasi kerajaan:

1. Ketelusan

Ketelusan dalam kerajaan merujuk kepada prinsip perkongsian maklumat secara terbuka dengan orang ramai dan agensi lain yang berkaitan.

Melalui kebenaran mengakses tanpa had kepada data kerajaan, pemimpin dalam sektor awam boleh menjadi lebih serius untuk meningkatkan prestasi dan berusaha ke arah mencipta pelan tindakan sesuai untuk memenuhi matlamat ditetapkan.

2. Akauntabiliti / Bertanggungjawab

Akauntabiliti dan ketelusan hampir sama. Walaupun ketelusan adalah mengenai pendedahan dan bersikap terbuka, akauntabiliti adalah mengenai mengambil tanggungjawab atas tindakan anda.

Mewujudkan sistem akauntabiliti yang sihat boleh membantu meningkatkan prestasi kerajaan dalam jangka panjang.

3. Pembinaan Kapasiti

Pembinaan kapasiti merujuk kepada proses digunakan institusi untuk membangun dan mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran mereka untuk melaksanakan tugas dengan cekap sekali gus terus berkembang maju.

Untuk meningkatkan prestasi kerajaan, seseorang itu perlu mewujudkan institusi yang mampan dengan meningkatkan pembinaan kapasiti.

4. Insentif

Menyediakan peluang insentif dan sistem ganjaran untuk kakitangan kerajaan serta kontraktor boleh membantu meningkatkan prestasi dengan luar biasa.

Jika memberi pekerja pelbagai insentif untuk prestasi yang baik, mereka lebih berkemungkinan untuk berusaha mengekalkan tahap produktiviti yang tinggi dan memberi perkhidmatan sebaiknya.

5. Teknologi

Pelbagai alat dan aplikasi teknologi telah memudahkan kakitangan kerajaan melaksanakan tugas yang sebelum ini rumit dengan cepat dan cekap.

Ini sangat berguna untuk mengelakkan pembaziran sumber dan meningkatkan prestasi sektor awam.

6. Politik Muhibah

Muhibah politik adalah penting kerana kebanyakan agensi kerajaan, terutamanya di negara membangun, selalunya bekerja atas perintah eksekutif.

Kepimpinan politik perlu bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam pelbagai agensi untuk mengatasi halangan yang wujud dan menjamin persekitaran kerja yang sesuai untuk semua.