RAUB: "Ini kali keenam ular sawa ditemui di kawasan garaj rumah saya dan semalam (Rabu) yang paling besar ditangkap oleh pihak bomba.”

Itu reaksi Mazuen Mohd Taib, 42, ketika menceritakan detik penemuan ular sawa ketika dia mengemas garaj rumahnya di Taman Melati, di sini, sekitar pukul 3 petang pada Rabu.

Menurutnya, lokasi kediaman yang terletak bersebelahan dengan longkang besar dan merupakan saluran air utama perumahan didakwa punca reptilia berkenaan mudah masuk ke rumahnya.

"Setiap hujung tahun akan ada ular ditemui di rumah saya. Faktor cuaca juga mungkin menjadi punca reptilia ini mencari tempat perlindungan.

"Kira-kira tiga tahun yang lalu anak kucing yang saya letak di dalam sangkar turut mati ditelan ular sawa. Sejak itu saya tidak lagi letakkan haiwan peliharaan di dalam sangkar," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Zon 3 Bomba Pahang, Shahrulnizam Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 3.05 petang sebelum sepasukan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bergegas ke lokasi dengan menaiki sebuah jentera.

"Sebaik tiba di tempat kejadian kita mendapati terdapat seekor ular sawa sepanjang empat meter dengan anggaran berat kira-kira 60 kilogram berlingkar di garaj rumah berkenaan.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap reptilia terbabit sebelum bertindak melepaskannya ke habitat asal," katanya.

Ujarnya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.35 petang.