KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merujuk enam kertas siasatan membabitkan seorang pendakwah selebriti berkaitan kes amang seksual kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya, Rabu lepas.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata empat kertas siasatan berkaitan kes di Selangor dan dua di Negeri Sembilan yang dicadangkan untuk dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak.

"Manakala terdapat satu kertas siasatan di Kuala Lumpur yang masih dalam tindakan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata sebanyak tujuh laporan polis dibuat terhadap pendakwah selebriti berkenaan setakat ini dan individu berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Media sebelum ini melaporkan seorang pendakwah selebriti lelaki ditahan polis untuk membantu siasatan kes melakukan amang seksual terhadap beberapa remaja lelaki bawah umur yang dipercayai dikenali selepas melakukan program motivasi di sekolah.

-- BERNAMA