MPN PKR sokong penuh kepimpinan Anwar

Firdaus Azil
Julai 19, 2019 04:11 MYT
Johari Abdul (duduk, tengah) bersama Pengerusi-Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR dalam sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Ketika tumpuan negara terarah ke skandal video seks yang menyelubungi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) tampil memberi sokongan penuh kepada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini, jurucakapnya yang juga Pengerusi MPN Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, mereka berdiri teguh di belakang Anwar dalam menghadapi apa jua cabaran dan dugaan, yang boleh melemahkan parti.
Dalam masa sama, mereka juga menagih komitmen Anwar dan pimpinan pusat untuk mengutamakan hal-hal melibatkan kebajikan rakyat dan negeri termasuk janji-janji Manifesto Pakatan Harapan, terutamanya pemerintahan mereka menghampiri tahun kedua sejak Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
“Kami memberi komitmen tanpa belah bahagi kepada beliau (Anwar) dalam usaha beliau memimpin negara ke tahap yang diharapkan rakyat.
“Kami yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang pemimpin yang akan menunaikan janji-janji parti kepada rakyat sewaktu PRU lepas, dan kami akan bersama-sama beliau untuk pastikan semua ini terlaksana,” kata Johari sewaktu sidang media berkenaan.
Selain Johari, lima lagi pengerusi MPN sudah menandatangani memorandum itu ialah Amran Kamarudin (Perlis), Halim Bachik (Melaka), Azan Ismail (Terengganu), Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor (Kelantan).
Johari berkata, beliau yakin lapan lagi pengerusi MPN akan menandatangani memorandum itu dalam satu perjumpaan bersama Presiden parti di Port Dickson, malam ini.
#Anwar Ibrahim #Majlis Pimpinan Negeri #MPN #Parti Keadilan Rakyat #Pengerusi MPN PKR #PKR #sokong kepimpinan Anwar