KUALA LUMPUR: Seorang pejalan kaki cedera dilanggar sebuah motosikal di Jalan Sultan Ismail, dari arah Jalan Imbi, berhadapan sebuah pusat beli-belah di sini pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, penunggang motosikal yang sedang bergerak melalui lorong sebelah kanan telah melanggar pejalan kaki yang melintas jalan.

"Akibat kemalangan, pejalan kaki itu mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Besar, Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan.

"Penunggang motosikal itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan dibawah Rule 45 LN166/59.

Dalam kes tersebut, katanya, jejantas pejalan kaki telah disediakan kira-kira tujuh meter dari lokasi kemalangan.

"Sebahagian pengguna lalu lintas lebih suka mengambil jalan mudah dengan melintas menggunakan jalan raya walaupun risiko pejalan kaki tidak menggunakan jejantas adalah berbahaya dan boleh mengundang kematian.

"Tindakan saman boleh diambil mengikut Peraturan-Peraturan Trafik 1959 Kaedah 45 LN166/59 iaitu peraturan untuk pejalan kaki yang tidak menggunakan jejantas," tegas beliau.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.