Rasmi!

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan kapal persiaran ‘Equanimity’ kini disita secara teratur di bawah undang-undang Malaysia.

Kenyataan itu turut berkata kerajaan Indonesia dan Amerika Syarikat, dengan bantuan Polis Republik Indonesia (POLRI), telah bekerjasama dan menggembeleng tenaga bagi membolehkan usaha ini dicapai.

Pada Isnin (6 Ogos), Jabatan Peguam Negara menggunakan bidang kuasa Admiraliti Mahkamah Tinggi Malaya di ibu negara untuk mengeluarkan Waran Penahanan terhadap kapal itu.

BACA: PM ucap terima kasih pada Jokowi kembalikan kapal 'Equanimity' kepada Malaysia

Kapal mewah yang dipercayai milik ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low tiba di Pulau Indah, Klang sekitar jam 12.25 tengah hari ini selepas meninggalkan pelabuhan Batam, petang semalam.

Sejurus kapal tersebut tiba di Pelabuhan Klang, sekumpulan pegawai Jabatan Peguam Negara dan Mahkamah Tinggi hadir di Pelabuhan Klang untuk membuat pemeriksaan terhadap kapal layar itu.


Kapal layar tersebut telah disita oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali pada 28 Februari lalu atas permohonan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).


Penyitaan itu dibuat atas inisiatif DoJ yang menuntut hak milik ke atasnya bagi pihak Malaysia dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) susulan dakwaan wang milik Kerajaan Malaysia telah digunakan untuk membelinya dengan harga RM1 billion.


Lanjutan daripada Triti-Triti Bantuan Perundangan Bersama (MLA) antara Indonesia, Amerika Syarikat dan Malaysia yang diaktifkan baru-baru ini, rundingan sensitif dan rumit telah diadakan di peringkat tertinggi pelbagai agensi di ketiga-tiga negara untuk mencapai kejayaan ini.

Antara agensi-agensi yang terlibat dalam operasi ini adalah Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menzahirkan penghargaan beliau terhadap Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dan pihak berkuasa Republik tersebut atas usaha mereka mengembalikan kapal itu kepada Kerajaan Malaysia.