Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengaktifkan melancarkan Op Cegah Pati (OCP) Khas Kawasan Timur bagi mengekang penularan COVID-19, berkuatkuasa hari ini sehingga 30 September nanti.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, ia membabitkan tiga daerah di kawasan pantai Timur Sabah iaitu Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

Katanya, ini adalah sebahagian langkah proaktif ESSCOM bagi mencegah kemasukan PATI yang berpotensi mengalami jangkitan COVID-19, seterusnya menyebabkan kluster baharu meningkat.

"Ianya satu sokongan bagi membantu kerajaan dalam usaha memutuskan rangkaian pandemik ini dari terus merebak," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Ahmad Fuad menambah, OCP Khas Timur ini membabitkan kerjasama semua agensi keselamatan yang terdiri daripada Markas Angkatan Tugas Bersama 2, Markas Wilayah Laut 2, Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Udara, Ibu Pejabat Polis Daerah dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta dibantu beberapa agensi awam seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurutnya, kemungkinan PATI yang bekerja di sini dan kini berada di negara asal mereka akan cuba untuk kembali ketiga daerah tersebut menggunakan laluan tikus.

"Modus operandi OCP Khas adalah bagi menunjukkan kehadiran pasukan keselamatan di kawasan yang dikenal pasti menjadi kawasan laluan tikus Pati bagi mewujudkan elemen cegah rintang sekali gus mengekang kemasukan PATI dan penjenayah rentas sempadan seperti kumpulan penyeludup atau penculik," katanya.

Ahmad Fuad berkata, kerjasama dan kesungguhan semua agensi keselamatan berkaitan dalam menjayakan operasi tersebut amat diperlukan dalam usaha memutuskan rangkaian dan penularan pandemik COVID-19 di kawasan Pantai Timur Sabah.