LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) memohon kerajaan pusat dan negeri agar meneliti keperluan segera penambahan aset untuk pengukuhan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, penambahan aset berkenaan memberi kemudahan dan peningkatan operasi kawalan di ESSZone yang bersempadanan Indonesia serta Filipina sekali gus mengekang isu jenayah rentas sempadan.

"ESSCom ada mengemukakan cadangan keperluan aset kepada kerajaan negeri, kerajaan pusat seperti radar, 30 bot pelbagai guna termasuk pesawat ringan, supaya kita (pasukan keselamatan) dapat menjaga keselamatan Sabah, namun hingga kini belum diterima.

"Operasi berjalan baik, cuma kita melaksanakan tugas dengan kekurangan logistik, itu fakta," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fuad berkata Jawatankuasa Perancangan Gerakan Kebangsaan bersetuju pewujudan Pos Kawalan Keselamatan Sungai Aji Kuning di Sebatik, Tawau bagi menangani isu penyeludupan dan penyusupan pendatang tanpa izin dari Indonesia.

"Sebab itu kita perlu pos untuk laksana tugas-tugas kepolisan bagi kekang jenayah rentas sempadan.

"Kita juga mencadangkan pos kawalan keselamatan ini lebih kepada pos gabungan antara polis dengan tentera atau polis atau ATM sahaja dan perkara ini kita akan putuskan dalam mesyuarat dalam ESSCom pada tempoh dua atau tiga hari ini," katanya.

Selain itu, katanya dalam mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Gerakan Kebangsaan dipengerusikan panglima angkatan tentera serta ketua polis negara turut bersetuju pewartaan Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) di Sapi Nangoh dan Kalabakan.

Sementara itu, beliau berkata dalam tempoh hampir 23 bulan ini tiada maklumat diterima mengenai cubaan penculikan untuk wang tebusan berlaku.

"Namun pihak ESSCom tidak akan leka dan mencari maklumat untuk tindakan awal, " katanya, dan menambah hubungan kerjasama keselamatan antara Malaysia, Filipina dan Indonesia masih diteruskan termasuk rondaan udara dan laut secara bersama di sempadan tiga negara.

-- BERNAMA