Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) perlu menyelaraskan semua agensi penguatkuasaan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata tugas ESSCOM adalah untuk menyelaraskan operasi dan memperkemaskan tugasan pemantauan keselamatan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kawasan perairan Sabah.

Beliau berkata sejak ESSCOM ditubuhkan, agensi itu berperanan memastikan keselamatan kawasan daratan dan pulau-pulau di Esszone yang membabitkan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

"Ia adalah tugas sukar untuk mengawal kawasan laut dengan pembiayaan kerajaan yang terhad pada masa ini," katanya kepada Bernama di sini pada Khamis ketika diminta mengulas kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong DAP, Chan Foong Hin baru-baru ini agar kerajaan Barisan Nasional membubarkan ESSCOM.

Chan mendakwa Esscom telah mengecewakan rakyat dan mencadangkan agar Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan mengambil alih tanggungjawab itu.

ADUN itu juga mencadangkan agar rakyat Sabah diberi kuasa untuk menggunakan senjata api sebagai alternatif menangani isu keselamatan.

Nur Jazlan berkata cadangan untuk membenarkan rakyat Sabah menggunakan senjata api secara sah akan menimbulkan lebih banyak masalah daripada mengatasinya.

Sementara itu, pendapat sama turut dikongsi Presiden Persatuan Bumiputera Bajau Semporna (Perbubas) Mansor Santiri, yang tidak bersetuju dengan cadangan Chan agar kerajaan membekalkan senjata kepada rakyat bagi menangani isu keselamatan di Esszone.

"Kalau kita (rakyat Sabah) sedang berperang mungkin perlu dibekalkan senjata dan diberi latihan untuk menggunakan senjata tetapi situasi sekarang ini tidak memerlukan keperluan sedemikian," katanya lagi.

Sebaliknya Mansor ketika dihubungi berkata kerajaan perlu memikirkan langkah lebih komprehensif bagi menangani masalah keselamatan di pantai timur Sabah.

"Pertindihan tugas dan arahan mungkin antara faktor kawalan keselamatan di Esszone masih dibolosi dengan kejadian penculikan kumpulan Abu Sayyaf yang menyasarkan golongan nelayan," katanya lagi. - BERNAMA