ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Hayati Othman disahkan positif COVID-19 selepas terlibat dalam misi bantuan di kawasan yang terjejas susulan kejadian kepala air di kaki Gunung Jerai, Yan beberapa hari lalu.

Menurut Dr Hayati, beliau mula menunjukkan gejala seperti demam dan batuk pada Ahad sebelum melakukan ujian saringan semalam (Rabu).

"Saya tak tahu juga (sama ada berjangkit dari kawasan Yan), (yang pasti) selepas balik dari Yan (saya mula) batuk (dan) demam sejak hari Ahad, saya pergi (program bantuan) hari Sabtu,

"Pergi hari Sabtu balik (dari program) itu, hari Ahad baru mula demam, swab (saya) buat hari Rabu, sebelum mesyuarat Exco buat swab, selepas itu kena pakai gelang, (dan) pagi tadi pihak kesihatan telefon maklumkan saya positif," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Khamis.

Tambah beliau, ketika menyertai misi bantuan di Yan itu, beliau bersama anggota lain sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan baik seperti pemakaian pelitup muka sepanjang masa selain makan di tempat yang berasingan.

Dr Hayati turut memaklumkan, beliau kini berada pada kategori dua dan akan menjalani kuarantin di rumah serta akan hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, tahap kesihatannya ketika ini juga semakin baik, dengan tahap oksigen turut berada pada paras antara 96 dan 97 peratus.

“Sekarang (saya) sedang jalani kuarantin di rumah, saya (dimaklumkan berada pada) kategori dua (dan akan jalani) kuarantin (selama) 10 hari," sambung beliau lagi.

Sehubungan itu, Dr Hayati turut menasihatkan semua pihak yang berada di lokasi kejadian terutama pasukan yang menjalankan misi bantuan agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.