KULAI: Penipuan dalam talian membabitkan platform media sosial Facebook merekodkan sebanyak 744 kes, paling tertinggi yang dicatatkan sejak awal tahun ini sehingga 25 Mei lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Teo Nie Ching berkata, berdasarkan laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Telegram mencatatkan sebanyak 17 kes, WhatsApp 16 kes, Instagram tujuh kes dan email satu kes.

Jelasnya, penipuan dalam talian ini memberi gambaran kepentingan kerjasama antara kerajaan dan penyedia platform agar usaha menangani jenayah siber dapat dilaksanakan.

"Kita faham penyedia platform ada community guidelines atau garis panduan masing-masing. Tetapi KKD mengambil langkah mengadakan perjumpaan bersama TikTok, Facebook dan Google, ia untuk memastikan aktiviti haram yang melanggar undang-undang boleh diambil tindakan secepat mungkin.

“Begitu juga jika ada ucapan bersifat perkauman dan sebagainya, kami boleh hantar laporan kepada penyedia platform, tetapi penyedia platform masih mengguna pakai atau rujuk garis paduan mereka untuk buat keputusan, sama ada content itu akan dipadam atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Menonton Wayang Bersama Komuniti Polis Kulai, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Nie Ching turut mengulas mengenai pihak Telegram yang enggan mengadakan perjumpaan dengan KKD berikutan tidak mahu mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan berkaitan politik.

Beliau berkata, tujuan perjumpaan itu adalah bagi mewujudkan kerjasama dalam mengekang aktiviti jenayah dan bukan bersifat politik dan mengganggu kebebasan bersuara.

Sementara itu, mengingatkan ahli politik dan orang ramai tidak menyalahgunakan platform media sosial dengan mengeluarkan kenyataan berbaur kebencian, perkauman dan agama terutama ketika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.

"Semua pihak terutama ahli politik perlu faham, ketika PRN memang ada persaingan, tetapi jangan disebabkan ada agenda dan mahu kemenangan, kita mengeluarkan kenyataan yang boleh beri kesan negatif pada masyarakat.

"Sekiranya didapati melanggar peraturan, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia," katanya.

Pada 31 Mei, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta KKD dan SKMM memantau sebarang hantaran bernaratifkan kaum dan agama dicetuskan ahli politik. -Sinar Harian