KUALA LUMPUR: Vaksinasi ialah kaedah yang paling biasa untuk meningkatkan imunisasi, kerana ia adalah cara yang paling mudah, selamat dan paling berkesan untuk mencegah penyakit, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan tambahan daripada dijangkiti penyakit.

Pakar Perunding Pediatrik danNeonatologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr Lee Mei Ling, berkata pemvaksinan kanak-kanak amat penting kerana ia melindungi dan mengurangkan risiko mereka dijangkiti penyakit serius atau penyakit yang boleh membawa maut.

"Imunisasi dalah proses pembentukan antibodi oleh tubuh bagi menghasilkan imuniti terhadap jangkitan penyakit, hasil daripada tindak balas tubuh terhadap vaksin.

"Apabila kanak-kanak diberi satu atau dos tambahan suntikan vaksin, mereka akan dilindungi selama bertahun-tahun dan ini terbukti bahawa pemvaksinan merupakan langkah paling berkesan, selamat serta bijak bagi menghasilkan perlindungan (imuniti)," katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Dr Lee berkata berdasarkan Jadual Imunisasi Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), vaksin disediakan secara percuma di semua klinik dan hospital kerajaan di seluruh negara bagi membolehkan kanak-kanak menerima suntikan seperti yang dijadualkan.

Beliau berkata selain vaksin Japanese encephalitis yang hanya diwajibkan di Sarawak, setiap kanak-kanak mesti menerima vaksin mengikut jadual melainkan ia disebabkan sebarang penyakit atau keadaan perubatan yang memerlukan perbincangan lanjut dengan doktor.

Vaksin diberikan melalui Jadual NIP bertujuan mencegah daripada 13 jenis penyakit berjangkit, iaitu komplikasi tuberkulosis, Hepatitis B, difteria, pertussis (batuk kokol), polio, tetanus (kancing gigi), komplikasi akibat jangkitan Haemophilus influenzae jenis B, measles, beguk, rubella, penyakit pneumokokal invasif dan jangkitan Human Papilloma Virus (HPV).

NIP diperkenalkan sejak 1950-an dan dirangka berdasarkan Program Lanjutan Imunisasi (EPI) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut Dr Lee, tindak balas imuniti terhadap antigen dan imunisasi boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu tindak balas primer atau tindak balas sekunder.

"Tindak balas imuniti primer terhadap antigen mengambil masa antara 10 hingga 14 hari bagi membolehkan badan menghasilkan antibodi.

"Bagi tindak balas imuniti sekunder terhadap patogen yang sama, sel memori yang dihasilkan sebelum ini akan bertindak balas dengan lebih pantas juntuk menghasilkan antIbodi bagi mengelakkan jangkitan iaitu membunuh patogen sebelum ia menyebabkan seseorang itu jatuh sakit," katanya.

Katanya, bukan semua vaksin akan menjamin imuniti sepanjang hayat manakala tetanus atau influenza akan bertahan selama bertahun-tahun namun perlu diberi suntikan secara berkala bagi memastikan mereka terus dilindungi daripada penyakit tersebut.

Dr Lee menjelaskan isu kanak-kanak terlepas peluang untuk menerima vaksinasi kerana kegagalan ibu bapa menyemak status vaksin anak-anak selain kurang arif tentang kontraindikasi vaksinasi.

"Sekiranya kanak-kanak tidak diberi suntikan vaksin, mereka akan terdedah dengan risiko dijangkiti penyakit yang sepatutnya boleh dicegah menerusi suntikan vaksin," katanya.

Menurutnya, manfaat yang diterima jauh lebih banyak berbanding kesan sampingan yang mungkin berlaku.

Katanya, ibu bapa juga disaran untuk mendengar pandangan atau pendapat pakar perubatan berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung imunisasi.

-- BERNAMA