KUALA LUMPUR : Aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza sekali lagi ditahan polis, kali ini melibatkan karikatur 'Keluarga Malaysia' yang merupakan slogan digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Fahmi Reza menerusi hantarannya di Twitter pada Isnin mengesahkan penahanan itu.

“Saya ditahan sejak jam 4 pagi tadi dan polis telah merampas telefon bimbit selain mengambil cap jari dan mengambil gambar saya,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas menghalang pihak polis daripada mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) pada dirinya.


Setakat ini, peguam yang mewakilinya, Rajsurian Pillai memberitahu, anak guamnya kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 yang boleh membawa kepada hukuman denda RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, pereka grafik kontroversi itu turut ditahan beberapa kali melibatkan karikatur sama yang sebahagian besarnya melibatkan kontroversi dan provokasi.