Faizal Azumu mulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak ke-13

Abd Razak Mohd Ali
Mac 17, 2020 02:45 MYT
Ahmad Faizal memulakan tugasan dengan mendengar taklimat daripada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri di pejabat Menteri Besar, sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri. Foto Pejabat MB Perak
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak yang ke-13.
Beliau tiba di Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada jam 8.30 pagi.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Perak, ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) Nor Sham Rahman dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulazlan Abu Hassan serta pegawai-pegawai jabatan dan agensi negeri.
Sambutan berlangsung dalam skala yang kecil dan tanpa kehadiran pihak media sebagai langkah mewujudkan jarak sosial, bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Ahmad Faizal memulakan tugasan dengan mendengar taklimat daripada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri di pejabat Menteri Besar, sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN).
Mesyuarat bertujuan membincangkan tindakan lanjut pentadbiran kerajaan negeri dan jabatan serta agensi berkaitan.
Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya malam tadi.
#ADUN #ADUN Chenderiang #Ahmad Faizal Azumu #kerajaan #keselamatan #kesihatan #koronavirus #Menteri Besar Perak #Muhyiddin Yassin