KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan penganjuran program jualan My Rakyat diperluaskan kepada 152 lokasi di seluruh negara dengan nilai jualan RM3.5 juta bagi tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Datuk Mohamad Mustahapa Awang berkata tahun lepas RM3.39 juta nilai jualan direkodkan menerusi program itu dengan penyertaan 4,736 usahawan melibatkan 146 lokasi di seluruh negara.

Beliau berkata pelbagai program khidmat pemasaran FAMA yang memberi manfaat secara terus kepada pengguna turut ditawarkan dalam My Rakyat seperti Jualan Terus Dari Ladang, Jualan Terus Dari Kilang dan lain-lain.

"My Rakyat menyasarkan jualan barangan segar dan runcit yang berkualiti kepada penduduk bandar di samping mewujudkan ruang serta peluang perniagaan yang lebih kepada usahawan tani. Jualan produk makanan juga diadakan bagi mengetengahkan tema negeri untuk satu-satu penganjuran.

"Selain itu, ruang yang ada di premis-premis kerajaan dapat dioptimumkan dengan penganjuran program ini dan secara tidak langsung akan mengurangkan kos penganjurannya," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Program jualan My Rakyat dilaksanakan FAMA dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Sementara itu Mustahapa berkata produk pertanian dan makanan dari Kelantan dipilih bagi menarik kehadiran pengunjung pada edisi penganjuran Program Jualan My Rakyat Kelate Kito kali ini yang bermula semalam di ibu pejabat FAMA.

Beliau berkata seramai 24 usahawan menawarkan pelbagai jualan istimewa produk pertanian negeri itu seperti pelbagai jenis ubi serta makanan tradisi, selain produk hiliran.

Menurutnya antara pengisian dan aktiviti yang dijalankan sepanjang dua hari penganjuran program itu adalah persembahan dikir barat, jualan happy hour dan jualan yang bertema ubi-ubian "Menggamit Kenangan" seperti ubi kayu, ubi keledek, ubi kemili, ubi itik, ubi badok, keladi, kacang tanah serta kacang pul.

"Turut diadakan adalah promosi Pokok Orkid, Keladi Viral, anak pokok, sayur-sayuran dan pelbagai jenis makanan tradisi negeri Kelantan untuk pengunjung yang hadir," katanya.

-- BERNAMA