LUMUT: Pantai Tanjung Kepah di Batu 9, Lekir, dekat sini, memang sangat popular dengan hasil laut seperti kerang dan pelbagai jenis siput.

Tidak hairanlah jika setiap kali musimnya, suasana pantai tersebut umpama pesta apabila orang ramai mengutip makanan laut itu seawal jam 7 pagi semasa air laut surut.

Bagaimanapun, suasana tiba-tiba berubah sejak COVID-19 melanda, apabila pergerakan orang ramai mula dibatasi dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun apabila kerajaan mengisytiharkan Perak memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), pantai Tanjung Kepah kembali meriah.

Tinjauan Astro AWANI pada Isnin mendapati, orang ramai mula berkampung di pantai itu hingga ada yang mampu mengutip sehingga 50 kilogram kerang dan hasil laut lain seperti siput, remis, kepah dan kijing, yang menjadi sumber rezeki tambahan penduduk.

Biarpun pengunjung datang bertali arus bersama baldi dan sekop kecil, mereka tetap tidak mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Seorang penduduk kampung, Ahmad Zaidi Hashim, 45, berkata, musim kerang biasanya  berlangsung sepanjang Ogos hingga Disember dan sejak dahulu lagi, pantai Tanjung Kepah menjadi tumpuan orang ramai termasuk dari negeri lain seperti Kedah dan Selangor.

"Selalunya orang akan mula turun ke pantai mulai jam 7 pagi sebab ketika itu air surut sehinggalah jam 1 tengah hari, mereka beredar kerana air laut akan pasang.

"Cuti hujung minggu paling meriah kerana ramai yang datang bawa keluarga, sambil mencari hasil laut, anak-anak juga boleh mandi dan bersantai di sini, sudah jadi seperti percutian keluarga," katanya.

Seorang pengunjung, Nor Anissah Sabari, 47, dari Kampung Tanjung Sari, Teluk Intan berkata, kali terakhir mereka sekeluarga ke pantai berkenaan adalah pada Mac lalu.

Bagi mengelak orang ramai, dia lebih suka memilih berkunjung pada hari biasa bekerja dan datang seawal jam 7 pagi.

"Sejak dahulu lagi kami sekeluarga memang suka mencari kerang di sini kerana hasilnya banyak.

"Tidak sampai empat jam, kami dapat hampir lapan kilogram hasil kerang dan ada juga hasil lait lain seperti remis dan siput," ujarnya.

Katanya, hasil laut yang segar memberikan rasa lebih enak dan boleh dimasak dengan pelbagai cara, paling digemari adalah dengan merebus atau bakar dan dicicah bersama air asam atau sos.