Bagi tujuan itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berpandangan, satu sistem pengawasan perlu diwujudkan bagi memantau situasi.
Menurutnya, dengan ada sistem pengawasan ini ia akan membolehkan penyelesaian bersasar dilakukan kerajaan selain meningkatkan liputan imunisasi dalam negara.
"Bagi persediaan, kerajaan mesti wujudkan satu sistem pengawasan untuk kawal COVID-19, kita tidak perlu ujian saringan secara besar-besaran dan laporan statistik harian lagi.
"Pengawasan ini penting sekiranya berlaku lonjakan jangkitan, ada langkah yang bersasar dapat dilakukan, selain tingkatkan liputan vaksinasi," katanya dalam program AWANI Pagi pada Khamis.
Beliau juga melihat, untuk memastikan kita dapat membendung wabak ini, peranan penting juga harus dimainkan oleh lapisan masyarakat.
Dengan terus mematuhi SOP sedia ada, ia dapat mengelakkan diri daripada dijangkiti dan beri kesan kepada kesihatan mereka itu sendiri.
"Kekal patuh kepada SOP sedia ada, itu dapat kawal diri kita daripada dijangkiti dan elak daripada terima implikasi kesihatan.
"Sekiranya ia berjaya, kes juga akan menurun dan banyak sektor boleh jalani proses pemulihan," jelasnya.
Katanya, dengan langkah oleh kerajaan dan kawalan kendiri ini, ia dilihat model terbaik untuk sama-sama kita mengurangkan impak terhadap kesihatan dan dapat memulihkan kepada pelbagai sektor yang terkesan.
Berikut merupakan temu bual penuh bersama Dr Zainal dalam program AWANI Pagi.