KUALA LUMPUR: Fasa Peralihan ke Endemik yang dimasuki negara Jumaat lepas menyaksikan lebih ramai penganut agama bukan Islam memenuhi rumah ibadat masing-masing bagi mengikuti aktiviti keagamaan.
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan mereka turut memanfaatkan kelonggaran yang dinikmati itu dengan mengeratkan lagi hubungan persaudaraan dan persabahatan menerusi majlis perkahwinan yang dianjurkan.
Di KUALA LUMPUR, tinjauan di kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Cave di sini mendapati penganut Hindu kembali melaksanakan upacara sembahyang secara biasa, malah kesempatan itu dimanfaatkan sebahagian besar penganutnya yang tidak dapat menyertai upacara perayaan Thaipusam pada Januari lepas.
Ketua sami Ravinatha Gurukkal ketika ditemui Bernama hari ini berkata penganut sangat gembira dapat sembahyang dan menunaikan nazar dengan membawa 'paal kodam', mencukur rambut atau menggendong bayi mereka sebagai 'kavadi memanjat' mendaki 272 anak tangga, iaitu amalan biasa yang dilakukan oleh penganut agama Hindu sebelum pandemik melanda dua tahun lepas.
Seorang wanita warga emas Kamachy Subramaniam, 70, berkata dia sangat gembira dapat kembali mengunjungi kuil seperti biasa tanpa perlu lagi penjarakan fizikal.
"Saya tidak dapat ke kuil ketika Thaipusam dan kini saya gembira mendapatkan restu daripada Dewa Murugan.
"Walaupun kita hampir kepada fasa endemik, tapi saya rasa adalah penting untuk kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka, mendaftar masuk di aplikasi MySejahtera dan apa yang perlu untuk mencegah daripada COVID-19," katanya.
Di SELANGOR, selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik, Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam Midlands, Seksyen 7 Shah Alam telah mula membenarkan upacara perkahwinan dalam skala besar diadakan.
Setiausaha Agong kuil berkenaan, N. Sundramoorthy berkata pihak pengurusan kuil menerima sebanyak 13 tempahan upacara perkahwinan di rumah ibadat itu.
Beliau berkata bagi memastikan keselamatan pengunjung, mereka digalakkan mengamalkan penjarakan fizikal selain ruangan kawasan kuil turut akan kerap disanitasi.
Di PAHANG, pekerja swasta M. Rajagopal, 57, bersyukur kerana majlis perkahwinan anak perempuannya Sasirekha, 29, hari ini di Kuil Sri Maha Mariamman, Kuantan boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.
Beliau berkata sebagai bapa, dia amat berharap majlis perkahwinan anak keduanya itu bersama pasangan S.Jayaselvam, 30, berlangsung dalam suasana meriah dan menjadi kenangan terindah buat kedua mempelai.
"Kerana ini akan menjadi kenangan sepanjang hidup mereka dan saya amat gembira apabila kebenaran itu berkuat kuasa hanya tiga hari sebelum majlis berlangsung," katanya.
Di PERAK, Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman, Gunung Cheroh, Ipoh M.Vivekananda berkata meskipun penganut kini boleh melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan tanpa adanya penjarakan fizikal, namun SOP seperti pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan mendaftar masuk di aplikasi MySejahtera masih diperlukan.
Di PULAU PINANG, tinjauan mendapati rumah ibadat bukan Islam di negeri berkenaan masih mengguna pakai SOP penjarakan fizikal, walaupun negara sudah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik, pada Jumaat lepas.
Pengerusi Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam (Kuil Hilltop) Datuk R. Subramaniam berkata semua pengunjung di kuil masih mengamalkan SOP penjarakan fizikal ketika upacara sembahyang bagi menjaga keselamatan penganut yang hadir.
Sementara itu, tinjauan di gereja St George Anglican di Lebuh Farquhar dan gereja-gereja di sekitar George Town pula mendapati orang luar (bukan ahli gereja) tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam gereja selain difahamkan, aktiviti sembahyang di dalam gereja masih dilakukan dengan penjarakan fizikal.
Di MELAKA, pengunjung di gereja Chapel of Our Lady of The Immaculate Conception di Perkampungan Portugis, Augustine De Mello, 51, menyifatkan perkara berkenaan adalah khabar gembira namun menegaskan bahawa langkah berhati-hati perlu tetap diutamakan bagi membendung penularan COVID-19.
Di JOHOR, Paderi Gereja Immaculate Conception Johor Bahru Edward Rayappan berkata jumlah penganut agama Kristian yang dapat menyertai upacara sembahyang di gereja itu kembali bertambah termasuk dengan kehadiran kanak-kanak, susulan tiada lagi SOP penjarakan fizikal.
-- BERNAMA
Bernama
Sun Apr 03 2022
Penganut Buddha hadir ke tokong Kuan Yin di George Town, hari ini, selepas negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik Jumaat lalu. - Gambar/ Bernama
MYStartup lancar program pemecut ketiga perkasa syarikat pemula niaga
MYStartup terus memperkasa syarikat pemula niaga di Malaysia dengan memulakan program pemecut ketiganya MYStartup Accelerator Kohort 3.
Perdagangan Malaysia meningkat 7.1% tahun ke tahun kepada RM690.59 bilion - MITI
Perdagangan Malaysia bagi Januari hingga Mac 2024 mengekalkan trend peningkatan, merekodkan pertumbuhan 7.1 peratus tahun ke tahun kepada RM690.59 bilion, dengan lebihan dagangan RM34.22 bilion.
Keselamatan makanan, perubahan iklim agenda utama Malaysia selaku Pengerusi ASEAN
Memperkukuh keselamatan makanan serantau dan menangani cabaran mendesak perubahan iklim adalah antara agenda utama yang akan diketengahkan Malaysia apabila memegang tampuk Pengerusi ASEAN.
Freedom Flotilla to Gaza: 'Konflik Israel-Iran bukan urusan kami' - FFC
Misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla tetap akan diteruskan sekiranya konflik di antara Israel dan Iran terus meningkat.
KKR harap projek naik taraf 3 jalan di Johor dilaksana tahun depan - Ahmad Maslan
Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap kerja naik taraf tiga jalan di Johor dapat dilaksanakan tahun hadapan susulan pertambahan kenderaan menggunakan jalan tersebut.
KDNK Malaysia suku pertama dianggar berkembang 3.9% dipacu sektor perkhidmatan - DOSM
Sektor pembinaan menunjukkan pertumbuhan yang signifikan sebanyak 9.8 peratus berbanding 3.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, terutama dipacu oleh subsektor kejuruteraan awam.
MARGMA yakin permintaan sarung tangan getah global meningkat pada 2024
Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) yakin permintaan global terhadap sarung tangan getah akan meningkat pada 2024.
Letusan Gunung Ruang: Kualiti udara di Sarawak tidak terjejas
Letusan Gunung Ruang di Indonesia tidak menjejaskan kualiti udara di Sarawak.
[LAPOR LANGSUNG] Freedom Flotilla to Gaza: Sah! Tiga kapal tetap berlayar, redah laut Mediterranean 24 April ini
FFC mengesahkan tiga kapal yang terlibat dalam misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla akan memulakan pelayaran pada 24 April depan.
Freedom Flotilla to Gaza: Sah! Tiga kapal tetap berlayar, redah laut Mediterranean 24 April ini
FFC mengesahkan tiga kapal yang terlibat dalam misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla akan memulakan pelayaran pada 24 April 2024 bersamaan hari Rabu.
Masyarakat Islam Sarawak jangan terlalu ghairah adakan rumah terbuka raya
Masyarakat Islam Sarawak diingatkan supaya jangan terlalu ghairah mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri bulan hadapan walaupun negara kini sudah memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.
Solat tanpa penjarakan fizikal masih belum dibincangkan di kebanyakan negeri
Aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau yang boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal, masih belum dibincangkan di kebanyakan negeri.