KUALA LUMPUR: Fasa pertama pelaksanaan Program Pembasmian Kemiskinan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan dimulakan dengan mengenalpasti 50 lokaliti yang mempunyai bilangan keluarga miskin tegar teramai, pada penghujung Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, secara keseluruhannya, ia mempunyai lima fasa, dan sekiranya diluluskan Kabinet, pelaksanaan program di 50 lokaliti itu akan bermula pada Mac tahun hadapan.

Jelas Ahli Parlimen Jeli itu lagi, melalui program berkenaan, kerajaan komited untuk menghapuskan golongan miskin tegar, iaitu pendapatan isi rumah di bawah RM1,169 dengan empat ahli keluarga, menjelang tahun 2025.

"Pelaksanaan pendekatan baharu ini akan dipantau setiap tiga bulan bagi memastikan intervensi yang berkesan sekiranya pencapaiannya kurang memuaskan. 

“Selain daripada 50 lokaliti yang terpilih ini, program sedia ada bagi kelompok dan keluarga miskin lain di seluruh negara akan diteruskan," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang, yang ingin mengetahui strategi dan pelan tindakan yang diambil oleh kerajaan dalam mencapai sasaran miskin tegar sifar pada tahun 2025.

Mustapa berkata, selain daripada 50 lokaliti yang terpilih ini, program sedia ada bagi kelompok dan keluarga miskin lain di seluruh negara akan diteruskan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan baharu itu akan melibatkan penyertaan menyeluruh dan bersepadu daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri, sektor swasta, universiti, syarikat berkaitan kerajaan serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO).

Katanya lagi, di bawah RMK12, strategi menyeluruh meliputi projek dan program ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan kesihatan akan dilaksanakan bagi menghapuskan kemiskinan tegar pada tahun 2025.

“Kemiskinan tegar adalah isi rumah yang berpendapatan RM1,169 sebulan dan ke bawah, berdasarkan kepada kos pembelian makanan asas, bagi isi rumah dengan 4 ahli keluarga.

“Pembasmian kemiskinan tegar akan dilaksanakan tanpa mengira jantina, etnik, status sosioekonomi dan lokasi, sama ada bandar atau luar bandar,” katanya lagi.