KUCHING: Jumlah kapasiti di Unit Rawatan Rapi (ICU) di empat hospital utama di Sarawak kini meningkat dan berada pada tahap kritikal.

Keadaan yang merisaukan ini bagaimanapun sudah dijangka dan menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, langkah bagi mengatasi isu tersebut sedang dilaksanakan. 

“Memang tiga bulan yang lepas kita sudah memohon kepada Kuala Lumpur untuk menambahkan katil-katil ICU di Sarawak dan perkara itu sedang dijalankan.

“Di Kapit contohnya, kerajaan negeri telah meluluskan RM4.6 juta untuk membuat ICU di Kapit, jadi sebahagian daripadanya sedang dijalankan. Kita sebenarnya telah merancang lebih awal melihat keadaan ini,” jelas Uggah semasa Sidang Media Harian COVID-19 Sarawak pada Khamis.

Sementara itu pada sidang media sama, Pemangku Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Rosemawati Ariffin mengulas mengenai penundaan temu janji vaksinasi bertarikh 28 Mei 2021 adalah berpunca daripada masalah logistik bekalan vaksin ke negeri itu.

“Vaksin yang dijadualkan sampai untuk tujuan pemvaksinan pada 28 hari bulan telah dimaklumkan akan lewat tiba.

"Oleh kerana itu kita telah mengambil tindakan proaktif untuk melewatkan sedikit supaya kita lihat bila vaksin sampai baru kita akan beri,” jelasnya.

Bagaimanapun vaksin itu telah sampai pada Rabu atas usaha Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin yang telah mengarahkan vaksin itu sampai.