MACHANG: FELCRA Berhad telah mengenal pasti hampir 1,500 peneroka di seluruh negara bagi tujuan penanaman semula kelapa sawit untuk pusingan kedua setelah tanaman itu menjangkau usia 25 hingga 30 tahun.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata, bagaimanapun, bagi proses tersebut ia tertakluk kepada peruntukan kerajaan dan persetujuan pemilik tanah.

"Dalam Rancangan Malaysia ke-12, kita sasarkan 50,000 hektar penanaman semula sawit bagi tempoh lima tahun melalui hampir 1,500 peneroka seluruh negara yang telah dikenal pasti.

"Setakat ini, kita belum lagi mempunyai kawasan baharu yang boleh diteroka untuk penanaman kelapa sawit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Mini Karnival Keluarga Malaysia FELCRA Berhad 2022, dekat Kampung Padang Limau, Bukit Bakar, di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan turut mengalakkan mana-mana pemilik tanah dengan keluasan lebih 100 hektar yang ingin memajukan kawasan mereka dengan tanaman kelapa sawit supaya terus menghubungi pihak FELCRA untuk membantu menguruskan hal-hal yang berkaitan.

Setakat ini, FELCRA mempunyai 80 peratus tanaman kelapa sawit di seluruh negara manakala 20 peratus adalah tanaman getah dan lain-lain.

-- BERNAMA