YAN: Kejadian kepala air di Yan berulang lagi.

Dalam kejadian jam 5.45 petang tadi, seorang pemandu jengkaut terperangkap setelah air deras turun dari bukit berdekatan Pusat Rekreasi Batu Hampar.

Ketika kejadian, mangsa, S Lethumanan, berusia dalam lingkungan 30-an dikatakan sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan itu.

Bagaimanapun, kepala air akibat hujan lebat menyebabkan paras air meningkat dengan mendadak dan melimpah, menyebabkan mangsa terperangkap di seberang sungai.

BACA: Bencana Gunung Jerai: Jasad mangsa keenam tragedi kepala air dijumpai

BACA: Genap sebulan tragedi kepala air Gunung Jerai, penduduk kembali bangkit

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, mangsa berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.06 petang dan pasukan BBP Yan tiba di lokasi untuk melakukan penyelamatan.

"Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan mangsa adalah pemandu jengkaut yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan air terjun itu.

"Mangsa berjaya diselamatkan anggota bomba dengan teknik menyelamat menggunakan tali  selepas aliran air sungai terbabit sudah perlahan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Sayani berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.23 malam.

Sementara itu, tinjauan mendapati beberapa kawasan di daerah Yan terutama berhampiran kaki Gunung Jerai mengalami banjir kilat.

Dalam kejadian kepala air dan banjir lumpur di kawasan Yan pada 18 Ogos lalu, enam mangsa ditemui meninggal dunia sementara lebih 1,000 rumah terjejas.