IPOH: Tiada sebarang lesen pembalakan dikeluarkan di sekitar Gunung Suku, kawasan berlaku fenomena kepala air pagi semalam, sehingga menghanyutkan dua pendaki wanita yang masih belum ditemui kini.

Dalam masa sama, Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan menutup sementara kebenaran mendaki gunung tersebut, disebabkan keadaan yang agak merbahaya pada masa ini.

Pengarah Perhutanan Perak Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, pihaknya melalui Pejabat Hutan Daerah Kinta Manjung, menerima aduan awam dan polis berkaitan mangsa hilang di Hutan Simpan Bukit Kinta (Gunung Suku).

“Adalah dipercayai, kejadian kepala air ini berpunca akibat daripada hujan lebat yang berlaku pada awal pagi 15 Mei.

“Semakan jabatan juga mendapati, tiada sebarang lesen pembalakan di sekitar lokasi kejadian,” katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian pagi semalam, dua wanita hilang ketika mendaki Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands kerana dihanyutkan arus deras selepas ditimpa kepala air.

BACA: Pendaki Gunung Suku hanyut: Bomba jumpa kaki mangsa

Identiti kedua-dua wanita itu dikenal pasti sebagai See Du Yen, 32 tahun, dan Ng Yee Chew, 46 tahun, yang berasal dari Cheras dan Klang,

Mohamed Zin berkata, pihaknya turut membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang tersebut.

Menurutnya, hasil daripada operasi tersebut telah menemui cebisan daging yang dipercayai milik mangsa hilang itu, lebih kurang 300-400 meter dari lokasi pencarian.

Katanya, operasi pencarian akan diteruskan di sekitar lokasi tersebut.